Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Wednesday, June 14, 2006

Kenyataan Media KeADILan: SIASAT TUN MAHATHIR !

KENYATAAN AKHBAR
9 JUN 2006

SIASAT TUN MAHATHIR !

Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad terhadap penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang antara lain menuduh Abdullah menikam beliau dari belakang adalah satu kritikan yang serius. Kritikan tersebut, yang timbul dalam masa kurang tiga tahun selepas Abdullah mengambil alih tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Kritikan terkini Dr. Mahathir terhadap kepimpinan Abdullah harus dilihat dalam konteks siri-siri kritikan beliau yang terdahulu. Serangan beliau terhadap Kerajaan dalam isu penyalahgunaan AP, salah urus hal-ehwal Proton, pembatalan projek-projek mega, dan yang terkini, pembatalan pembinaan jambatan bengkok menghubungkan Johor dan Singapura serta rancangan penjualan pasir kepada Singapura menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pentadbiran negara. Kritikan-kritikan ini menjurus kepada hakikat bahawa Kerajaan sekarang, di sebalik usaha-usaha untuk melepaskan diri daripada kelemahan-kelemahan kerajaan pimpinan Dr. Mahathir, masih lagi terperangkap dalam masalah tadbir urus yang baik.

Berdasarkan kepada perkembangan mutakhir ini, kami menggesa Kerajaan agar memenuhi janji-janji untuk mengamalkan tadbir urus yang baik dengan menyiasat dakwaan-dakwaan Dr.Mahathir, mengumumkan hasil siasatan dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab menyalahguna kuasa.

Kami membuat laporan polis dengan menggesa kerajaan agar menyiasat kenyataan Dr. Mahathir yang disiarkan dalam
Malaysiakini.com pada 7 Jun 2006 yang membayangkan wujudnya salah laku dalam perbelanjaan wang kerajaan terutamanya dalam pembangunan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya yang ditanggung oleh dana syarikat minyak negara, PETRONAS. Perlu juga disiasat ialah kenyataan bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Ani Arope yang mendakwa wujudnya terma-terma yang tidak adil serta membebankan pengguna dalam penswastaan pusat-pusat janakuasa elektrik yang dikaitkan dengan penglibatan langsung bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kami percaya bahawa kesengsaraan rakyat, lebih-lebih lagi akibat daripada kenaikan harga minyak dan tariff elektrik, perlu ditangani segera oleh kerajaan dengan bertindak secara lebih bertanggunjawab dan telus dalam membelanjakan wang kerajaan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home