Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Wednesday, June 14, 2006

Kenyataan Media: Utusan jangan cuba perangkap KeADILan

Kenyataan Media
10 Jun 2006

Utusan jangan cuba perangkap KeADILan di dalam kemelut
Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mahathir

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melahirkan rasa kesal di atas laporan yang tidak bertanggungjawab oleh media cetak, Utusan Malaysia, yang dikeluarkan pada hari ini, Sabtu, 10 Jun 2006 yang melaporkan bahawa AMK telah membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir di atas alasan bahawa beliau telah menghasut rakyat membenci institusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

AMK menegaskan bahawa laporan media ini merupakan laporan yang salah dan menyimpang dari laporan polis sebenar yang kami buat di Ibupejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur. Di dalam laporan polis tersebut kami telah meminta pihak polis untuk memulakan siasatan kemungkinan berlakunya salah guna kuasa oleh bekas Perdana Menteri rentetan dari kenyataan beliau bahawa sejumlah wang yang besar dari khazanah milik rakyat iaitu wang PETRONAS telah digunakan untuk membangunkan Putrajaya dan juga kenyataan Tan Sri Ani Arope, Bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendakwa wujudnya terma-terma yang tidak adil serta membebankan pengguna dalam penswastaan pusat-pusat janakuasa elektrik yang dikaitkan dengan penglibatan langsung bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir.

AMK menegaskan bahawa fokus utama perjuangan kami sejak dari awal ialah melawan rasuah sehingga ke akar umbi dan kami konsisten dengan fokus ini. Kami tidak berminat untuk melayan dan terlibat di dalam karenah pergaduhan di antara Perdana Menteri dan juga bekas Perdana Menteri. Justeru, kami tampil kehadapan dengan membuat laporan polis yang baru bagi memastikan Dr Mahathir disiasat dan di bawa ke muka pengadilan di atas kesalahan-kesalahan salah guna kuasa dan rasuah semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Di dalam masa yang sama, kami juga menuntut Perdana Menteri sekarang untuk menunaikan janji-janji beliau untuk menghapuskan rasuah dengan menyiasat Dr. Mahathir, dakwaan-dakwaan Dr. Mahathir, mengumumkan hasil siasatan dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Dengan nada yang tegas, AMK beranggapan bahawa Utusan Malaysia seolah-olah mempunyai niat yang jahat dengan membuat laporan yang diputarbelitkan seperti ini, seolah-olah ingin mengheret dan memerangkap Keadilan di dalam kemelut serta perbalahan di antara Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi. AMK tidak berminat dalam hal ini. Keprihatinan kami ialah terhadap keperitan dan kesengsaraan rakyat yang terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat daripada perlakuan rasuah yang berleluasa di dalam negara. Yang jelas, pergaduhan seperti ini pasti akan merugikan rakyat. Kami komited terhadap perubahan sistem bernegara dan bukannya perubahan pemimpin. Tiada maknanya kepada rakyat sekiranya pemimpin berubah, tapi sistem tetap bobrok dan perasuah lepas bebas. Kami mengulangi penegasan bahawa kesengsaraan rakyat, lebih-lebih lagi akibat daripada kenaikan harga minyak dan tariff elektrik, perlu ditangani segera oleh kerajaan dengan bertindak secara lebih bertanggunjawab dan telus dalam membelanjakan wang kerajaan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home