Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Sunday, October 08, 2006

Keadilan Menggugat : Gelombang Perubahan Politik di Sabah

Pada hari ini, 7 Oktober 2006, Keadilan di negeri Sabah mencipta lembaran baru. Ini disebabkan dengan kemasukan Datuk Dr Jeffrey Kitingan diikuti oleh hampir 18,000 pengikut-pengikut beliau dari suku kaum Kadazan-Dusun-Murut (KDM) di seluruh negeri Sabah.

Pada saya ini merupakan kemenangan moral yang baru kepada Keadilan Sabah selepas Keadilan mendapat semangat dan motivasi baru di negeri Sarawak melalui kemenangan YB Padungan. Apa yang menarik ialah maklum balas media di negeri Sabah mengenai perkara ini. Sudah pastilah tiada laporan yang baik, akan tetapi untuk dua hari berturut-turut, berita kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat Keadilan dan kemasukan Datuk Dr Jeffrey diberikan liputan di muka hadapan media.

Ini memberikan gambaran jelas bahawa kemasukan Dr Jeffrey akan memberikan perubahan kepada lanskap politik Sabah. Sebagai sebuah parti yang berpegang kepada budaya berpolitik secara berprinsip dan bukannya mengamalkan budaya politik yang menjaga kepentingan, kemasukan beramai-ramai suku kaum KDM ini akan memberikan tekad baru kepada Keadilan untuk terus berjuang di atas landasan kepedulian terhadap masalah rakyat.

Kehadiran Datuk Seri Anwar dengan pidato politik beliau yang memukau telah memberikan harapan baru kepada rakyat Sabah khususnya dari kalangan Kadazan-Dusun-Murut. Saya melihat sendiri bagaimana semangat baru dan harapan mereka tatkala bertemu dengan pimpinan muda KDM yang rata-rata mempunyai kecekalan luar biasa menyatakan pendirian mereka dan seterusnya memilih wadah Keadilan untuk meneruskan kelangsungan perjuangan.

Ucapan yang bernas dari Dr Jeffrey khususnya ketika mengupas perjanjian 20 di antara Tanah Melayu dan Borneo serta pendedahan mengenai kepincangan dan ketidakadilan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Sabah sepanjang hampir 43 tahun menambahkan keyakinan saya bahawa Dr Jeffrey telah memikirkan dengan penuh teliti keputusan yang beliau terpaksa lakukan demi keadilan rakyat Sabah.

Dengan nada yang sama, mengambil semangat perjuangan Mat Salleh yang cukup sinonim dengan Tambunan, saya nasihatkan Datuk Seri Pairin untuk segera meninggalkan BN dan lakukan perubahan untuk kepentingan dan masa depan rakyat Sabah.

Tahniah kepada kepimpinan Keadilan Sabah.

Justice for Sabah

0 Comments:

Post a Comment

<< Home