Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Friday, October 13, 2006

Mirzan tunduk pada tekanan Umno

Muda Mohd Noor
Malaysiakini


Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Presiden Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli), Mirzan Mahathir sebagai tunduk kepada tekanan Umno apabila mengakui ada kelemahan dalam andaian dan perkiraan institut itu mengenai pemilikan ekuiti bumiputera yang telah mencetuskan kontroversi.

Naib Ketuanya, Samsul Iskandar Mohd Akin berkata; “Tidak syak lagi, Umno telah menekan Mirzan supaya memohon maaf sedangkan beliau tidak perlu berbuat demikian kerana Asli merupakan badan pemikir yang tidak terlibat dengan politik.

“Ia juga ada hubungkait dengan permainan media yang menyerang Asli mengenai kajian tersebut sejak kebelakangan ini,” katanya sebagai mengulas kenyataan Mirzan yang mengakui laporan Asli tidak mencerminkan secara adil gambaran sebenar jumlah pemilikan ekuiti bumiputera di Malaysia.

Dalam kenyataan itu semalam, Mirzan juga berkata, Asli amat kesal dengan kekecewaan dan kekeliruan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia berikutan laporan yang dikeluarkan Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) Asli itu.

Kajian tersebut yang dijalankan oleh pusat berkenaan, bertajuk “Pengagihan Ekuiti Korporat – Trend Masa lalu dan Dasar Akan Datang’ – merumuskan pemilikan ekuiti korporat bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah sekitar 45 peratus – melebihi sasaran 30 peratus di bawah DEB.

Laporan mengenai hasil kajian tersebut telah mencetus kontroversi dan dikritik hebat oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin tinggi Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun Shamsul berkata, jika kajian Asli itu benar, kerajaan perlu melakukan sesuatu termasuk memberi perhatian serius terhadapnya.

Beliau juga berharap, walaupun Asli mengaku tersilap, kerajaan tidak perlu memandang negatif terhadap kajian badan itu pada masa depan.

“Selama ini hasil kajian Asli sangat dihormati, oleh itu mereka perlu meneruskan kajian,” jelasnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home