Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Monday, October 30, 2006

Ezam sah letak jawatan sebagai Ketua AMK




Oleh: Wan Nordin Wan Yaacob - Harakah

Mohamed Ezam Mohd Noor secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) berkuatkuasa hari ini dalam satu sidang media khasnya di Pejabat KeADILan di Brickfield hari ini.

Pengumuman itu dibuat Ezam sendiri selepas mempengerusikan mesyuarat exco AMK buat kali terakhir sebelum secara rasmi mengundurkan diri dari AMK.

Berikutan itu, AMK sebulat suara melantik Naib Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai pemangku Ketua Pemuda buat sementara waktu sebelum Kongres AMK tahun 2007 yang dijadualkan sebagai kongres AMK dan pemilihan exco baru.

Dalam sidang media yang sama Timbalan Ketua AMK, Mohd Faizal Sanussi turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan.

Mengulas mengenai sebab meletak jawatan tersebut, Ezam yang akan mencapai umur 40 tahun pada tahun 2007 berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada generasi muda untuk memimpin AMK.

Tumpu kepada Gerak

Menurutnya, beliau akan menumpukan sepenuh usaha dan tenaganya untuk meningkatkan aktiviti Gerakan Demokrasi dan Anti Demokrasi (Gerak) satu pertubuhan anti penyelewengan yang ditubuhkan Ezam bersama bekas Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shaharim.

Selain itu peletakkan jawatan itu juga sebagai satu proses awal peralihan kepimpinan yang lebih bertenaga, muda dan memenuhi kehendak golongan muda hari ini terutamanya melihat kepada senario keruntuhan akhlak anak muda hari ini, katanya.

Keputusan itu juga dibuat selepas sebelum ini hasrat untuk berundur dari AMK mendapat persetujuan dalam Kongres AMK di Pulau Pinang baru-baru ini, katanya.

"Kebanyakan pemimpin sayap pemuda pertubuhan politik hari ini masih mengekalkan kepimpinan yang bukan di kalangan anak muda, sebaliknya mereka yang berusia lebih 40 tahun.Bagi saya biarlah yang muda memimpin kerana yang muda sahaja tahu citarasa golongan muda.

"Justeru sesuai dengan perkembangan terkini gerakan reformasi saya mengundurkan diri bagi memberi pemimpin yang lebih muda memimpin AMK dengan gaya mereka sendiri," katanya kepada media.

Dalam sidang media tersebut, Ezam turut menolak dakwaan bahawa peletakan jawatan itu berikutan permasalahan dalaman AMK, sebaliknya menyatakan beliau tetap bersama KeADILan dalam meneruskan karier politiknya, katanya.

Setakat ini beliau masih mengekalkan jawatan sebagai Ketua Bahagian KeADILan Shah Alam dan baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Pengerusi KeADILan Selangor bagi membantu tugas Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi KeADILan Selangor.

Ezam lapor kes penyalahgunaan kuasa PM dan Tun Dr Mahathir

Selepas pengumuman peletakan jawatan itu Ezam turut mengumumkan bahawa beliau melalui Gerak akan membuat satu laporan polis ke atas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan penyalahgunaan kuasa selaku PM Malaysia.

Laporan polis itu akan dibuat di Balai Polis Dang wangi, Kuala Lumpur pada hari Rabu ini, katanya.

Menurut Ezam, laporan itu dibuat selepas melihat beberapa isu membabitkan penyalahgunaan kuasa kedudukan sebagai PM yang dilakukan Abdullah dan Mahathir sewaktu menjawat jawatan tertinggi kerajaan.

Ini dapat dilihat setelah kedua-dua pihak saling tuduh menuduh dalam soal pemberian kontrak kepada anak menantu kedua-dua pemimpin negara itu yang kini menjadi satu perdebatan hangat di kalangan masyarakat, katanya.

"Inilah sikap Umno dan pemimpin Umno yang selama ini memerintah negara.Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan kesenangan dan mengagihkan kepada kroni,"katanya.

Shamsul akan teruskan hubungan dengan Pemuda BA

Sementara itu Shamsul Iskandar yang mengulas mengenai pelantikan beliau sebagai Pemangku Ketua Pemuda AMK berkata, beliau berazam akan menjadikan AMK sebagai satu pergerakan anak muda yang mampu meneruskan gerakan reformasi hari ini.

Selain itu beliau juga berazam akan menjalankan amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dan akan meneruskan perjuangan yang ditinggalkan bekas ketuanya itu.

Beliau juga menyatakan komitmen akan meneruskan hubungan baik dengan rakan-rakan pimpinan dalam Pemuda Barisan Alternatif (BA) iaitu Pemuda PAS dan barisan pembangkang lain seperti Pemuda DAP.

Dalam pada itu beberapa jawatan dalam AMK turut menyaksikan sedikit perubahan dengan Timbalan Ketua Penerangan AMK yang dahulunya disandang oleh Badrul Hisham, kini digalas oleh Amiruddin Shaari sementara Badrul Hisham menjawat Penolong Setiausaha.

Zainuddin Awang pula dilantik sebagai Penolong Bendahari sementara Shamsul Hidayat Mohd Sharif dilantik sebagai Exco AMK yang baru.

Tiga Naib Ketua masih kekal, iaitu Shamsul Iskandar, Sharifah Shahida Syed Kamaruddin dan S Manikavasagam.

Exco yang dipilih yang mengekalkan jawatan ialah, Nurin Aina Abdullah, Fariz Musa, Wan Mohd Anies Wan Adnan, Zamakshari Ibrahim, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (Jonah), Tan Seng Toh, Norazman Mat Amin, S.Jayathas, Shamsur Kamar Aini, Rezal Huzairi Mat Zaki, Azwandin Hamzah, Faisal Mustafa, Zarerah Hanim Md Zaki, Zamil Ibrahim, Syed Nazarudin Syed Aziz, Aliza Sharina Ahmad, Muhammad Gaddafi Kamal, Zukri Aksah dan Saiful Izham Ramli.

Sementara Exco dilantik ialah Mohd Zaki Yamani Zainon dan Abdul Ghani Zalika.

1 Comments:

Post a Comment

<< Home