Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Friday, November 03, 2006

Ezam ada bukti PM dan Dr Mahathir beri projek kepada anak menantu

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
Harakahdaily

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor berkata beliau mempunyai fakta kukuh untuk mengheret bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke mahkamah atas dakwaan penyalahgunaan kuasa semasa memerintah.

Dalam satu laporan balai polis di Balai Polis Dang Wangi (Campbell) dekat sini hari ini Ezam berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk bekerjasama dengan pihak polis dalam memberi maklumat berhubung penyelewengan dua pemimpin negara itu dan anak-anaknya.

"Laporan kami beserta 17 helai maklumat bersumberkan laporan dari agensi kerajaan, surat dari kementerian Kewangan serta sumber lain.

"Kami ada alasan kukuh untuk mempercayai kedua-dua pemimpin ini telah melakukan jenayah dengan menyalahgunakan kuasa untuk menganugerahkan projek-projek kerajaan bernilai ratusan juta ringgit kepada ahli keluarga terdekat," kata Ezam ketika mengadakan sidang medianya selepas menyerahkan laporan kepada polis.

Turut serta dalam laporan itu ialah, Koordinator Gerak, Badrul Hisham Shaharin; bekas tahanan ISA, Abdul Ghani Haroon dan Exco Angkatan Muda KeADILan, Faisal Mustaffa serta Zarerah Hanim Mat Zaki.

Menurutnya, laporan polis itu akan dirujuk kepada Balai Polis Kelana Jaya dan beliau dijadualkan bertemu dengan ASP Shim di balai polis tersebut esok untuk keterangan lajut.

"Saya beri 30 hari tempoh kepada pihak polis untuk menyiasat laporan itu,dan jika polis enggan beliau akan menghadapkan kes itu kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR)," katanya.

Menurut Ezam, pihaknya percaya siasatan yang menyeluruh perlu diadakan memandangkan masa pemerintahan kedua-dua pemimpin tersebut selama 25 tahun memungkinkan banyak penyelewengan berlaku tetapi tidak didedahkan.

Sejak kebelakangan ini sedikit demi sedikit penyelewengan kedua-dua mereka didedahkan, dan ironinya oleh kedua-dua pemimpin ini sendiri, kata Ezam.

"Mahathir menyatakan bahawa Abdullah memberikan projek kepada anaknya,manakala dibalas Abdullah bahawa Mahathir juga memberikan projek kepada ahli keluarga sendiri,"katanya.

Gerak ingin menarik perhatian rakyat Malaysia berhubung persoalan kekayaan anak lelaki Abdullah iaitu Kamaluddin yang memperolehi laba besar dalam tempoh singkat, katanya.

"Kekayaan yang dimiliki Kamaluddin amat pantas berbanding Mukriz di mana selama tiga tahun Abdullah memerintah Kamaluddin telah mengumpul kekayaan yang berlipat kali ganda dari tempoh yang sama berbanding Mukriz," katanya lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home