Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Friday, November 03, 2006

Shamsul: AM Keadilan akan teruskan agenda reformasi

Oleh Zulkifli Mohamed

Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin bertekad akan terus mempertahankan agenda reformasi, menjalin hubungan lebih erat dengan Pemuda PAS dan DAP, serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) demi kepentingan rakyat.

“Kita sedang merangka pelan tindakan untuk dilaksanakan kepimpinan baru, selari dengan ketetapan ucapan dasar Ezam (bekas Ketua AM) pada kongres yang lalu,” jelasnya yang dihubungi Malaysia Today.

Sehubungan itu, katanya, mulai November beliau akan menjelajah setiap negeri untuk menemui kepimpinan AM, bagi menjelaskan pelbagai isu berkaitan, termasuk penubuhan ‘bilik perang’ AM.

Shamsul dilantik pada mesyuarat khas Exco AM menggantikan Mohamad Ezam Mohd Noor yang melepaskan jawatan 29 Oktober lalu.

Berhubung kerjasama dengan Pemuda PAS dan DAP, Shamsul berkata: “Kita bersama-sama dalam satu tujuan untuk mendapat mandat rakyat pada pilihan raya akan datang. Perkara ini tidak akan berlaku jika tidak mendapat kerjasama yang baik. Kita akan teruskan kerjasama erat dengan pemuda PAS dan mengadakan hubungan strategik dengan Pemuda DAP.”

Pihaknya juga, kata Shamsul akan terus menjalinkan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) dan parti-parti lain yang memperjuangkan agenda reformasi.

Dalam pada itu, Shamsul menjelaskan AM akan membuat laporan polis dan BPR terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo berhubung isu ‘istana’ ADUN Klang Datuk Zakaria Mat Deros.

“Khir Toyo seolah-olah cuba lari dalam isu ini, padahal dialah bertanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa pembahagian tanah itu,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, AM akan membuat laporan polis berhubung penyelewengan dan salahguna kuasa dalam penganugerahan tanah kepada isteri ADUN terbabit, pada 3 November 2006 (Jumaat), jam 2.00 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Seksyen 11, Shah Alam Selangor.

Orang ramai diminta berhimpun di Masjid Negeri, Shah Alam dan bergerak dari sana selepas solat Jumaat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home