Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Friday, November 03, 2006

Laporan Polis Terhadap Khir Toyo dan Zakaria

Kami disini membuat aduan dan laporan polis setelah membaca dan merujuk kepada artikel berikut :

a) Artikel The Star 30 Oktober 2006, mukasurat 8 yang bertajuk "Penalise all lawbreakers" melaporkan bahawa tapak tanah yang didirikan "Istana Idaman" di Kampung Idaman, Klang adalah asalnya diperuntukkan untuk sekolah agama. Anggaran nilai pasaran tanah tersebut ialah RM1.3 juta;

b) Laporan The Star 31 Oktober 2006, mukasurat N10, bertajuk "Two more Klang councillors get stop work order" melaporkan bahawa isteri Datuk Zakaria Mat Deros, Datin Zizah Ngah hanya membayar RM46, 000.00 untuk memiliki tanah seluas 43,000 kaki persegi setelah diberikan diskaun;

c) Laporan New Straits Times 14 Oktober 2006, mukasurat 2 yang bertajuk "Datuk bought land for mansion for a song" melaporkan bahawa tanah yang diberikan kepada Datin Zizah Ngah pada asalnya adalah lapan lot dengan Lesen Menduduki Sementara (TOL). Ia kemudian dibatalkan dan dijadikan satu lot besar untuk diberikan kepada isteri Zakaria.

d) Ketiga-tiga salinan akhbar ini dilampirkan.

Adalah dengan ini kami mengesyaki terdapat penyalahguna kuasa oleh pihak tertentu dengan tindakan menganugerahkan tanah tersebut kepada seseorang individu yang berkepentingan, dalam kes ini isteri kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, dengan harga yang terlalu rendah mempunyai elemen penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Berdasarkan laporan-laporan akhbar tersebut, kami percaya telah berlaku perbuatan jenayah salahguna kuasa dan pecah amanah sehingga menyebabkan tanah untuk kegunaan sekolah diberikan kepada individu pada harga yang terlalu rendah.

Kami mengesyaki Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo selaku EXCO Tanah dan Kewangan Negeri Selangor dan beliau yang mempunyai kuasa pentadbiran telah tidak telus dan seperti membiarkan amalan penganugerahan tanah kepada pemimpin UMNO dan keluarga tanpa kelayakan yang jelas untuk memperolehinya.

Oleh yang demikian kami membuat laporan polis ini agar satu siasatan segera terhadap penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pecah amanah kepada perkara-perkara berikut:-

1. Terdapat isu rasuah bagi tanah tersebut sehingga diselewengkan untuk kepentingan individu;
2. Terdapat pencerobohan tanah sekolah agama dan terdapat penyalahgunaan kuasa bagi membatalkan kegunaan tanah tersebut untuk sekolah agama dan sebaliknya meluluskan pemberian tanah itu kepada Datin Zizah Ngah;
3. Terdapat penipuan kuasa apabila tidak didedahkan kriteria yang melayakkan Datin Zizah Ngah untuk dianugerahkan tanah negeri dan bagaimana penganugerahan tanah kepada beliau menyumbang kepada kepentingan negeri dan rakyat.
4. Apa Terdapat penyalahguaan kuasa apabila ada pihak tertentu yang membatalkan status tanah TOL untuk lapan lot asal dan menukarkannya kepada satu lot besar untuk diberikan kepada Datin Zizah Ngah.
5. Siapa yang menetapkan jumlah yang perlu dibayar oleh Datin Zizah Ngah untuk mendapatkan tanah tersebut dan apa sebab diskaun diberi kepada beliau.

Kami percaya telah belaku kesalahan-kesalahan jenayah dibawah Seksyen 406, Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 417 Kanun Keseksaan, Seksyen 418 Kanun Keseksaan bagi kesemua perkara-perkara diatas.

Kami juga percaya bahawa kesalahan-kesalahan di atas merupakan kesalahan-kesalahan rasuah seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997 khususnya Seksyen 10, Seksyen 14 dan Seksyen 15.

Sekian laporan kami.

1 Comments:

  • At 2:01 PM, Anonymous Anonymous said…

    'Istana Zakaria' yang mencetuskan kemarahan rakyat dianggap bukan sekadar satu isu 'antara dua darjat' malah banyak lagi hal yang sama berlaku membabitkan pemimpin Umno/BN yang menjolok mata rakyat dan menanti masa untuk dibongkar.


    Selain wakil rakyat Pelabuhan Klang, Zakaria Mat Deros membina 'istana' tanpa pelan pengubahsuaian dan kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK), turut mendapat perhatian ialah isu rumah banglo berharga jutaan ringgit pemimpin Umno/BN di Pulau Pinang seperti rumah wakil rakyat Pinang Tunggal, Dato' Roslan Saidin di Kepala Batas didakwa bernilai RM2.5 juta.


    Begitu juga dengan rumah Senator Dato' Omar Faudzar di Changkat Minden yang dilaporkan bernilai RM1.2 juta yang disifatkan mencipta jurang yang besar dan hidup seperti 'antara dua darjat' antara rakyat kebanyakan dengan pemimpin sedangkan Umno Pulau Pinang yang cuba memperjuangkan nasib orang Melayu yang miskin tetapi mereka hidup sebaliknya.


    Mengulas perkembangan ini, Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata beliau tidak terkejut dengan isu tersebut kerana semenangnya beginilah sikap sebenar dan matlamat perjuangan pemimpin Umno/BN selama ini.


    "Perjuangan Umno dan BN ialah memperbanyakkan serta memperbesarkan harta kekayaan mereka daripada membela nasib rakyat khususnya yang daif di kawasan mereka," katanya.


    "Rakyat semakin jelak dan mual dengan sikap mereka ini yang pandai menasihati rakyat supaya mengubah gaya hidup namun yang berlaku mereka pula hidup sebaliknya, malah perjuangan mereka membela nasib orang Melayu yang miskin hanya 'lakonan' semata-mata, " katanya.


    Ditanya kenapa sebahagian pemimpin Umno/BN bersifat sedemikian, beliau berkata sikap buruk mereka ini adalah kerana mereka mewarisi sifat yang 'diperturunkan' oleh pemimpin atasan mereka.


    "Mereka tidak takut membina rumah besar, banyakkan kekayaan yang melampaui dan menjolok mata sebab pemimpin atas mereka juga sama perangainya, " katanya.


    Beliau juga turut hairan sehingga kini Badan Pencegah Rasuah (BPR) belum melakukan sebarang siasatan atau tindakan tegas, walaupun isu Istana Zakaria itu telah dibangkitkan oleh media, ahli politik malah Sultan Selangor sendiri mengambil berat isu tersebut.


    "BPR seperti 'toothless tiger' (harimau tanpa gigi = harimau kertas) yang selama ini tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.


    "Dan saya percaya kes Istana Zakaria dan yang sebagainya tidak akan ke mana-mana, hanya sekadar tindakan displin parti sahaja," katanya


    "Beliau akan bebas sama seperti bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad yang telah dibuktikan terlibat dalam rasuah dalam pemilihan parti," katanya lagi.


    Katanya lagi, banyak lagi salah-laku seumpama itu yang melibatkan pemimpin Umno/BN di seluruh negara yang menanti masa yang sesuai untuk dibongkar oleh rakyat.


    "PAS sekian lama telah banyak membongkarkan salah-laku mereka, tetapi kini terbukti apa yang kami utarakan selama ini adalah benar dan ramai rakyat mulai percaya," katanya


    "Saya harap rakyat akan menghukum perangai dan sikap buruk mereka ini sewaktu pilihan raya nanti,"


    Mainan pembangkang?
    Sultan Selangor dan Menteri Besar telah pun mengarahkan Zakaria melepaskan jawatan tersebut ekoran isu rumah banglonya dibina tanpa pelan pengubahsuaian di atas tanah kurnia milik isterinya, Datin Zizah Ngah.


    Namun mesyuarat tergempar Umno Bahagian Klang hari ini mengambil keputusan akan membuat rayuan untuk mengekalkan ketuanya, Zakaria sebagai ahli majlis, Majlis Perbandaran Klang (MPK).


    "Kita menyokong penuh kepimpinan Zakaria dan akan sentiasa bersama beliau dalam isu yang beliau hadapi ini," kata setiausahanya, Ishak Mohd.Jonid pada sidang akhbar di Bangunan Umno Bahagian Klang, Pandamaran di sini.


    Dalam pada itu, Ketua Penerangan bahagian tersebut, Shohimi Shafie menyifatkan apa yang berlaku kepada Zakaria merupakan satu penganiayaan.


    "Ini adalah mainan parti pembangkang untuk menjatuhkan beliau," dakwanya. - lanh

     

Post a Comment

<< Home