Shamsul Iskandar Mohd. Akin

Suara Anak Muda

Thursday, March 23, 2006

Kenapa saya kata Pak Lah Perdana Menteri yang lemah ?


Saya ingin mengulangi penegasan yang telah saya lakukan semasa program Debat Perdana pada 12 Mac 2006 lalu yang disiarkan secara langsung melalui TV 1 bahawa Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang lemah. Pada malam tersebut, saya telah membawa sekurang-kurangnya tiga contoh yang jelas iaitu:


Kegagalan Perdana Menteri untuk meluluskan permit surat khabar rasmi Parti Keadilan Rakyat iaitu Suara Keadilan walaupun Parti Keadilan Rakyat merupakan sebuah parti yang berdaftar. Permohonan permit telah dilakukan semenjak tujuh tahun yang lalu. Kebebasan media dan maklumat merupakan prasyarat kepada sebuah kerajaan yang demokratik.

Kegagalan Perdana Menteri untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu di mana secara khususnya saya merujuk kepada dasar kerajaan pimpinan beliau mengenai pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris, AP (approved permit) yang dianugerahkan kepada segelintir elit pemerintah dan anugerah biasiswa yang pada waktu sekarang ini tidak lagi dinikmati oleh pelajar Melayu.

Kegagalan Perdana Menteri untuk memahami masalah dan beban rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripada kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen.

Saya percaya penilaian dan pandangan saya bahawa PM Abdullah merupakan seorang Perdana Menteri yang lemah turut dikongsi oleh sebilangan besar rakyat Malaysia termasuk beberapa bekas pimpinan kerajaan. Yang terbaru ialah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan secara diplomatik bahawa kenaikan harga minyak di Malaysia boleh dielakkan sekiranya kerajaan mengambil tindakan dengan mengukuhkan mata wang kerana dengan mengukuhkan mata wang, harga minyak sebenarnya tidak akan menjadi terlalu tinggi. Dalam erti kata yang lain, pandangan beliau memberikan satu bperspektif bahawa kerajaan di bawah pimpinan PM Abdullah adalah lemah dan tidak berwibawa.
Justeru, saya percaya tindakan YB Wee Ka Siong yang menganggap bahawa kenyataan saya mengkritik PM Abdullah seorang perdana menteri yang lemah sebagai satu kenyataan yang BIADAP, menggambarkan tentang bagaimana semangat demokrasi khususnya kebebasan memberikan pendapat dan pandangan telah mati di dalam sebuah negara yang dianggap sebagai negara yang demokratik. Apatah lagi, pandangan seperti ini keluar dari mulut seorang pimpinan muda kerajaan yang sepatutnya mempunyai pandangan yang lebih progresif dan terbuka.

Saya dengan ini membuat cabaran rasmi dengan mana-mana pimpinan muda parti pemerintah untuk berdebat dengan saya tentang penegasan saya bahawa Malaysia mempunyai sorang Perdana Menteri yang lemah dan beliau perlu berubah segera !

Minyak Naik Lagi.......

Kenyataan Media
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
28 Februari 2006

Kenaikan harga minyak akan mengakibatkan ketidakseimbangan individu di Malaysia bertambah teruk. Kami beri PM Malaysia 7 hari untuk memperbetulkan keadaan.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia [Angkatan Muda] membantah sekeras-kerasnya kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Kenaikan ini pastinya akan memberikan impak yang teruk kepada majoriti rakyat Malaysia khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Angkatan Muda ingin menegaskan bahawa kenaikan ini adalah tidak perlu sama sekali memandangkan pada ketika ini harga minyak setong telah pun stabil pada harga USD 61 dan kedudukan harga ini berlaku semenjak tahun 2005. Sepanjang tahun 2005, kenaikan harga minyak telah berlaku dari 1.10 ke 1.60 dan sekarang 1.90. Kenaikan bayaran cukai tanah, air dan pada bulan Mac yang akan datang, kenaikan kadar elektrik, di tambah pula dengan kenaikan harga minyak adalah ramuan-ramuan yang jelas akan membebankan rakyat. Apa yang menyedihkan lagi, kenaikan gaji yang diumumkan khususnya kepada kakitangan kerajaan adalah tidak seimbang sama sekali dengan pelbagai kenaikan secara serentak.

Musibah seperti ini akan mengakibatkan keadaan ketidakseimbangan individu [individual inequality] di Malaysia bertambah teruk. Menurut laporan Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [UNDP], kedudukan Malaysia dari aspek ketidakseimbangan individu adalah yang kedua parah di negara Asia selepas negara Papua New Guinea. Selain dari Papua New Guinea, negara-negara lain yang parah keadaan ketidakseimbangan individu ialah negara-negara di Amerika Selatan dan Afrika seperti Zimbabwe dan Afrika Selatan.

Angkatan Muda memberikan masa selama 7 hari kepada Perdana Menteri Abdullah untuk segera bertindak membendung kenaikan harga minyak ini. Sekiranya beliau gagal, Angkatan Muda bersama-sama dengan seluruh kelompok masyarakat akan menggerakkan kuasa rakyat bagi membantah kenaikan ini diseluruh negara. Angkatan Muda akan mula bertindak pada 3 Mac 2006 ini di hadapan KLCC.

Selamatkan Rakyat !